JaLinaN ukHwaH
Jul 15, 2011
KASIH
Hati mudah berubah; iman turun dan naik
*** Lebih kepada mengingati diri sendiri***
Aku mengeluh sendirian: “Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Terkadang terasa kuat membara sengatan iman di hati, tetapi lama kelamaan pudar juga oleh sengatan syahwat yang berbisa. Jika dulu bersemangat mengkaji dan mengamalkan islam, kini semangat itu menjadi surut disebabkan kesibukan dunia yang tiada penghujungnya. Begitulah keadaan hamba yang semakin tenggelam ke dasar lautan duniawi tanpa menyedari nafas imannya semakin lemah dan akan mati lemas akhirnya.
Astaghfirullahala’zim, astaghfirulahala’zim, astaghfirullahala’zim…L
Beruntunglah sesiapa yang mahu memperbaiki imannya, menjaga dan melindungi iman seperti dia melindungi hartanya atau popularitinya supaya tidak musnah.
Justeru, aku mula mencari punca di mana silapnya, di mana puncanya kelemahan iman yang semakin dirasai ini. Antara jawapan: (jom sama2 buat checklist)
*Ibadah tidak berkualiti. Sesiapa yang berasa dirinya jauh daripada Tuhannya, terseleweng daripada jalan-Nya ataupun berhenti terlalu lama dalam permainan nafsunya, kembalilah semula ke jalan Allah supaya dia dicintai Allah.
Bawalah dua bekalan asas; ibadat wajib dan sunnat. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadat sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Ramai hamba Allah yang tertipu dengan amalannya sedangkan ia hanyalah umpama debu pada pandangan Allah.
*Hati yang tidak khusyuk. Petanda awal kerosakan hati ialah hati yang tidak dapat menghadirkan khusyuk. Penyakit ini semakin parah apabila ia meninggalkan karat kemalasan ketika beribadah. Melakukan ibadat sekadar mendirikan kewajipan sahaja, tetapi tiada kemanisan ibadat. Astaghfirullah..!!
Khusyuk hanya diperoleh dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara melembutkan hati ialah dengan melemahkan nafsu. Jika dilihat para sahabat dulu, mereka membiasakan diri dengan sujud yang panjang pada akhir malam seperti mana sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW. Baginda memanjangkan sujud dalam solat malamnya selama kurang lebih membaca lima puluh ayat al-Quran, begitu juga ketika rukuknya. Saat paling dekat seorang hamba kepada Allah ialah ketika dia sujud. Ia mampu melembutkan hati dan mengubat jiwa yang tenat tanpa iman.
*Berlebihan dengan perkara yang mubah. Bercuti boleh meredakan ketegangan, menjamu selera dan membeli-belah baik untuk mengubat kebosanan, memakai pakaian yang indah dan mahal tidak dilarang, membeli perhiasan dan apa yang menyukakan hati boleh melahirkan kekyukuran kepada nikmat Allah Taala.
AKAN TETAPI….perkara sebegini kadang-kala membuat kita leka. Jika berlebihan dengan aktiviti ynag memanjakan diri, dibimbangi akan melemahkan semangat “perjuangan” sebenar, mengaburkan mata dan hati yang celik dan akhirnya larut dalam kesibukan dunia hingga melupakan akhirat.
*Tidak menghadiri majlis ilmu. Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya, tidak jelas matlamat, arah dan tujuannya. Siapa dirinya, berasal dari manakah dia, mahu ke mana dan apa yang mahu dicapainya?? (rujuk kisah Nabi Adam)
Sebelum Dr M menyatakan “melayu mudah lupa”, sejarah Nabi Adam telah membuktikan yang memang manusia itu sifatnya mudah lupa. Jadi kita perlu sentiasa diingatkan. Semua persoalan di atas memerlukan jawapan yang pasti.
*Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan berlebihan. Apabila iman menipis, lupa kepada Allah, akan lahirlah perasaan sedih, susah hati dan murung. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
Mengingati Allah maksudnya ingatan yang membawa kepada kegembiraan. Gembira dengan takdir-Nya, reda dengan jalan hidup yang dipilih untuknya, untung rugi harta, susah senang kehidupan kerana manusia lahir ke dunia dengan senario yang termaktub di Lauh Mahfuz. (Rjuk sifat-sifat Qana’ah)
Setiap mukmin memiliki hati yang mampu berbisik mengenai keadaan imannya, siapakah yang paling mengetahui diri kita melainkan Allah Taala dan diri kita sendiri.
Jul 8, 2011
"Kerana Aku Sayang Kamu"
Diamku tak bererti aku membenarkan"Dakwah"mu dikecam? Jangan cepat melatah
“kau ingat orang pakai jubah, tudung labuh, serban semua tu baik sangat ke?”
“Ah, baik ada makna tu, tengokla nanti, dia mesti ajak engkau masuk group dia.”
“Rimas betul aku, buat ini tak boleh, buat itu tak betul. Yang betul cuma dia je.”
“Kubur asing-asing la, tolongla jaga tepi kain sendiri. Suka hati aku la nak buat apa pun.”
“Ish, anti betul aku dengan budak-budak ni. Malas la nk bertembung dengan diorang.”
Pernah “disembur” begitu? Apabila ada orang nak ajak buat benda baik, ianya jadi pelik. Macam-macam dikata. Banyakkan bersabar, sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Kata2 cemuhan spt ini sebenarnya tidaklah lebih daripada hanya cuma menggambarkan tuan empunya badan yg jiwanya sedang menderita. They are in pain. Mereka tidak punya keyakinan pada diri dan takut melihat kebaikan. Ini kerana mereka jauh darinya. Setiap kali orang lain cuba 'mengingatkan', ianya mengingatkan diri mereka akan kelemahan dan kekurangan diri mereka ....jadi mereka tidak selesa.
Maka untuk 'menyedapkan' diri, mrk merendahkan orang yang cuba menjadi baik dan cuba mencari kesalhan mereka. Sebenarnya mereka ini wajar dikasihani kerana sedang menderita.
Kita juga harus ingat juga bahawa kesanggupan manusia berbeza-beza. Mungkin semasa kita mengajak, kita sudah sanggup bersolat sunnat dan berpuasa sunnat, sedangkan orang itu belum sanggup solat wajib pun. Jadi, kita harus menerima mereka, berkatalah “tak apa, jom kita cuba sedaya upaya”.
Dekatkanlah diri dgn Quran, kerana itulah kekuatan seorang Muslim. Jom tengok sikit bagaimana Allah memujuk dalam “love letter”Nya:
“Maka jangan sampai ucapan mereka membuat engkau bersedih hati. Sungguh, kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan” (36:76)
“Boleh jadi engkau akan membinasakan dirimu dgn kesedihan kerana mereka tidak beriman” (26:3)
“Dan bersabarlah dan kesabaranmu itu semata2 dengan pertolongan Allah

dan janganlah engkau bersedih hati terhadap kekafiran mereka dan jangan pula bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orag yang berbuat kebaikan.” (16:127-128)
Jul 5, 2011
~~Bom petrol dan senjata yang dikaitkan dengan BERSIH~~

..Polis menjumpai bom petrol yang dikaitkan dengan BERSIH..saya tidak pasti sejauh manakah benar berita ini..jika benar amat bahaya, jika tidak benar, pun bahaya kerana menuduh perkara yang bahaya..kata Datin Paduka Marina Tun Mahathir dalam twitternya 'berita yang sukar dipecayai'..saya sendiri pun rasa agak pelik..mungkin betul cerita ini, mungkin provokasi..
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui segala yang mereka sembunyikan dan segala yang mereka nyatakan?"
Surah Al-Baqarah : 077
Jul 2, 2011

Terkejut melihat kalendar. Sedar tidak sedar, hari ini kita telah melangkah masuk ke dalam bulan yang dikatakan antara bulan2 yang mulia dalam Islam.
Antara peristiwa di bulan Syaaban adalah, nisfu syaaban. "Nisfu" dalam bahasa Arab adalah pertengahan, jadi nisfu syaaban adalah pertengahan syaaban; 15 syaaban.
Apa yang berlaku pada malam nisfu Syaaban?
Kalau di Malaysia, kebanyakan surau dan masjid akan mengadakan solat sunnat nisfu syaaban dan bacaan yasin 3 kali selepas solat maghrib. Nisfu syaaban adalah hari di mana kitab amalan kita bertukar. Apalah agaknya yang tertulis dalam kitab amalan kita yang hampir ditukar kpd yang baru tuh..?? banyak biru ke, banyak merah ke..heee
Jadi, masih ada lbh kurang 14 hari lagi utk membaik pulih buku amalan kita. Jom, explore lagi apa amalan2 di bulan syaaban ini...:
1) Puasa:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban dan 3 hari pada pertengahan Syaaban dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah SWT mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah SWT selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid”. (Dipetik dari kitab Durratun Nasihin).
2) Zikir dan selawat
Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah SWT, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah SWT mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin).
3) Bertaubat
Rasululullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu”.
Wahhh, seronoknya...!! Jom lakukan sekarang..:)
Jun 28, 2011
PERISTIWA ISRAK MIKRAJ
PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan Sudut Agama menyorot peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.
Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj
Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).