JaLinaN ukHwaH

~Ukhwah itu indah andai bertemu dan berpisah kerana Allah...

May 6, 2011

Meraih Redha Illahi (Bab 1)

Husna Farisah merenung jauh ke luar kawasan rumahnya. Memikirkan permasalahan itu cukup membuatkannya tidak senang duduk. Lamaran Ammar Qayyum yang disampaikan oleh abangnya merangkap wali dirinya, sememangnya sesuatu yang amat diharapkan keluarganya, mungkin juga dirinya. Namun, mengingatkan hasrat seorang teman rapat yang juga menaruh perasaan terhadap Qayyum, hatinya terasa berbolak-balik, takut dikatakan mengkhianati sahabat sendiri.

Anis Wahida. Ya, teman rapatnya itu secara terang-terangan telah memperlihatkan bahawa dia menaruh harapan pada jejaka di kampungnya itu, siapa lagi kalau bukan Qayyum, seorang arkitek. Lelaki itu punyai nilai ‘plus’ kerana selain memiliki kerjaya yang boleh dikatakan menjamin masa depan, dia juga terkenal dengan ketinggian peribadi sekali gus merupakan anak lelaki tunggal kepada imam masjid al-Falah di kampungnya. Kerana itu, walaupun tanpa berkopiah putih, dia seringkali dikenali dengan gelaran “ustaz” di hadapan namanya. Atas nama persahabatan, lamaran Qayyum terhadap dirinya menjadikannya begitu serba salah untuk menerima lamaran lelaki itu walaupun dia juga mengharapkan perkara yang sama; membina baitul muslim berlandaskan keimanan bersama lelaki yang diyakininya mampu membimbing dan membantunya meniti jalanan hidup dengan penuh keimanan di dunia dan di akhirat sana.

Untuk menerima lamaran Qayyum, risau dikatakan mengkhianati sahabat sendiri. Namun, untuk menolak lamaran itu, hatinya keras menidakkan. Teringat akan sabda Rasulullah SAW; “Jika ada seorang yang baik-baik datang melamar dan kemudian kamu tolak, dan tunggulah kehancuranmu”. Ah, sesungguhnya aku dalam dilema ya Allah, bantu aku ya Tuhan, tetapkanlah pendirianku, getus hati Husna Farisah.

“Mengelamun jauh nampak adik abang seorang ni”, sergahan abang Azzam dari belakangnya sedikit memeranjatkan Husna. “Husna memikirkan tentang lamaran Qayyum?” tanya Abang Azzam seolah-olah mampu mengagak apa yang terbuku di hati kecilnya. Husna sekadar mengangguk sambil melemparkan senyuman kepada abangnya itu. Sedikit malu sebenarnya ingin berkongsi soal hati. Itulah Husna Farisah. Husna yang begitu pemalu, gadis itu penuh santun, sungguh sederhana dalam setiap hal, apa yang terbuku di hatinya jarang untuk dia pamerkan kepada sesiapa. Kelembutan peribadinya dan ketenangan wajahnya mampu menjentik tiap hati yang memandang termasuklah Qayyum, lantas lamaran dihantar untuk mengambil Husna sebagai suri hidupnya. Wanita itu cukup sempurna di matanya untuk menjadi suri hidup dan ibu terbaik buat bakal anak-anaknya. Wanita itu juga diharapkannya agar dapat mempermudahkan jalan hidupnya menuju cahaya Illahi.

“Husna takut andai Husna mengambil keputusan yang salah. Husna tidak mengenalinya secara khusus tapi Husna dapat rasakan dia lelaki yang baik”, kata Husna setelah agak lama berdiam diri. Abang Azzam sepertinya dapat mengagak. “Istikharahlah, mengadu pada yang Maha Mendengar. InsyaAllah Dia pasti menolong hambaNya yang selalu mengharapkan padaNya. Apa pun keputusan Husna, kita semua akan hormati. Bagi diri Husna waktu. Tiada paksaan sama sekali. Dan harus Husna ingat, nikah adalah sunnah Rasulullah, jadi jika ianya dibina atas dasar keterpaksaan, akan tiada keikhlasan di situ. Maka, sia-sia lah ibadah nikah yang kita dirikan”, jelas Abang Azzam panjang lebar. “Husna faham Abang. Terima kasih dengan ingatan tersebut. Husna akan cuba istikharah, Abang. Husna harap Allah tunjukkan jalan pada Husna”, balasnya pendek. Sedikit sebanyak terasa lega dengan nasihat yang diberikan oleh abangnya. Abang Azzam cuma tersenyum. “Masuklah, dah lewat malam ni”, suruh Abang Azzam. Husna cuma akur dan melangkah masuk.

******

“Assalamualaikum. Saya mencari novel ‘Lafaz yang Tersimpan’, masih ada dijual di sini?” tanya Ammar Qayyum pada jurujual di Popular. “Encik bernasib baik, hanya tinggal dua naskhah sahaja lagi sementara menunggu keluaran seterusnya. Dan kebetulan penulisnya juga ada di sini”, kata jurujual tersebut sambil menunjukkan arah letaknya novel tersebut. “terima kasih”, kata Qayyum pendek dan terus melangkah ke sana untuk mendapatkan novel yang di ‘recommend’ kan oleh rakan sekerjanya, Afiq Wajdi. Katanya novel itu penuh motivasi dan ilmu tentang kehidupan berlandaskan Islam yang jarang terdapat dalam novel-novel lain. Bahasanya yang lembut dan indah cukup untuk menggambarkan bahawa penulisnya adalah seseorang yang jiwanya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Qayyum terasa sedikit berdebar saat melangkah. Sesusuk tubuh seorang wanita membelakanginya. Dia memandang, walaupun cuma dari belakang, wanita itu tampak sopan dengan sehelai blaus labuh berwarna cream yang dikenakan dengan tudung berwarna coklat. Astaghfirullahalazim, apa yang aku buat ini. Lemahnya imanku hanya kerana seorang wanita, getus hati kecilnya. Kelihatan wanita itu juga membelek-belek novel tersebut. “Assalamualaikum”, ucapan salam dihulur. “Waalaikumussalam”, jawab Husna dan berpaling ke arah suara tersebut. Terpandangkan seorang lelaki, dia merendahkan sedikit pandangannya. Inilah Husna Farisah yang tinggi nilai agamanya, sentiasa menjaga tiap anggotanya dari berpaling kepada mereka yang bukan mahramnya. Sambil tunduk dan tersenyum, Husna berlalu dari situ.

Dalam perjalanan pulang, Husna bersyukur yang teramat melihat hasil jualan novel pertamanya mendapat sambutan memuaskan. Padanya, bukan wang atau nama yang menjadi matlamat, tetapi ilmu yang terkandung di dalamnya diharapnya agar dapat membantu sedikit sebanyak mereka di luar sana yang masih tercari-cari cara hidup Islami yang sebenar. Namun, di samping jualan novelnya, ada sesuatu yang lain seolah-olah mengintai-ngintai hatinya. Hati wanitanya sedikit terusik dengan pandangan jejaka yang ditemuinya sebentar tadi. Dia akui, daripada lagak si jejaka tersebut, dia nampak dari kalangan orang yang baik-baik. “Astaghfirullahalazim, ya Allah, adakah ini salah satu dari ujianMu untuk menguji sejauh mana cintaku terhadapMu. Ampuni kekhilafanku ya Allah, sesungguhnya cinta yang halal dari seorang Hawa untuk Adam hanya selepas kedua-duanya berkahwin sesuai dengan sunnah RasulMu”, Husna beristighfar dalam hatinya sambil meneruskan pemanduan. Sekerasnya dia menjaga hatinya agar tidak membayangkan pandangan jejaka tersebut.

Di rumah, setelah pulang dari berjemaah di masjid, Qayyum mula membaca novel yang baru sahaja dibelinya siang tadi. Habis bab pertama, jelas, apa yang dikatakan teman sepejabatnya benar. Bahasa novel ini cukup indah, kelembutan si penulis tergambar dari gaya penulisan yang amat menyentuh perasaan, jelas menggambarkan penulisnya mempunyai jiwa yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Ilmu yang terkandung di dalamnya juga bermanfaat dan sungguh memotivasikan. Penulis ini bukan sembarangan. Qayyum menyelak helaian terakhir. Tertera gambar dan sedikit biodata pengenalan penulis di situ. Melihat kepada gambar, dia seolah kenal dengan wajah tenang wanita tersebut tapi masih belum dapat mengingat. Berkerut-kerut dahinya cuba untuk mengingat siapa gerangan penulis itu. Gagal. Qayyum membaca sedikit latar belakang pengenalan penulis tersebut. Nama Husna Farisah, dari Kampung Teluk, Melaka. Dia terhenti di situ. Ini nama kampungku. Cetus hatinya.

Menunaikan hasrat hati yang meronta-ronta ingin tahu, Qayyum bergegas ke ruang tamu menemui ibunya yang sedang melipat pakaian. Ibunya memberitahu Husna merupakan anak kepada arwah Haji Mahmood, adik kepada Muhammad Azzam. Pelik juga, kenapa aku tak pernah tahu kewujudan dia di kampung ini, getus hati kecilnya. “Husna ni jarang keluar rumah, kalau dia keluar pun mungkin untuk jemur dan angkat pakaian, selebihnya, dia banyak luangkan masa bersama keluarga dan menulis. Lagipun, dia di kampung sekali sekala je, dia belajar di Kedah, UUM kalau tidak salah”, kata ibunya seolah-olah dapat mengagak persoalan yang bermain di fikirannya.

*****

“Husna, kau kenal tak anak Imam Ishak tu? Dia baru pulang dari Jordan, namanya kalau tidak silap aku, Ammar Qayyum”, tanya Anis yang datang melawat ke rumahnya suatu petang. Husna cuma mengangguk. Entah kenapa, sedari dulu, dia kurang berminat membicarakan tentang kaum Adam. Bukan membenci, cuma dirasakan kurang enak. Husna sangat menjaga hatinya. Bagi Husna, cintanya hanya pada mereka yang bergelar mahramnya sahaja. Anis menambah, “aku terjumpa dia tadi sebelum datang sini tadi. Boleh tahan juga orangnya. Sudahlah berkerjaya, gayanya juga tampak baik, lagak seorang ustaz gitu. Hai, kalau lah dia datang meminang aku, masa tu jugak aku terima”, Anis berkata sambil tersenyum seperti kerang busuk.

“Perempuan yang baik pasti untuk lelaki yang baik. Itu janji Allah. Kena yakin dengan itu. Aku doakan kau dapat jodoh yang terbaik dalam penilaian Allah pada kau ek”, kata Husna penuh ketenangan. Sambil tersenyum, Anis menjawab, “ni aku sayang kat kau ni, selalu je sokong aku. Dan, yang paling penting, selalu je ingatkan aku apa-apa yang aku lupa. Eh, tapi kalau ditakdirkan aku tak dapat dia, aku tak adalah sampai nak bunuh diri. Kau jangan risau ek. Kau kan selalu ingatkan aku, ‘berbaik sangkalah pada Allah, Dia pasti ada rencana yang lebih baik pada kita’, betul tak?”, Husna Cuma ketawa melihat ajukan Anis terhadap dirinya. Sudah lagak ustazah dah, cetus hati kecilnya. Husna menyambung, “kita perlu ingat, Allah menjawab semua doa kita dengan tiga cara. Pertama, Dia cakap ‘YA’ dan berikan pada kita. Kedua, Dia cakap ‘TIDAK’ dan berikan kita dengan sesuatu yang lebih baik. Ketiga, Dia cakap ‘TUNGGU’ dan beri kita yang terbaik mengikut masa yang ditentukanNya”.

Husna Farisah tersedar dari lamunannya saat pertama kali bertemu lelaki bernama Ammar Qayyum sebulan lalu dan peristiwa petang bersama Anis beberapa hari yang lalu.

Maafkan aku Anis, andai keputusanku berkemungkinan akan menyakitimu, sayu hati kecilnya berkata-kata. Malam itu Husna bertafakur agak lama di sejadah seusai solat malam. Malam itu, dia menyerah kepada Allah agar membantunya dalam membuat keputusan yang dirasakan sangat besar dalam hidupnya. Tersalah membuat pilihan, pasti merisikokan hidupnya. Baginya, cukup sekali dia menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki seumur hidupnya, kecualilah andai dikehandaki yang Maha Kuasa, siapalah dia untuk menolak takdir.

Husna mengangkat tangan, merelakan air mata merembes keluar. Kali ini, dia benar-benar pasrah kepada Illahi. Dia tahu, rencana Allah itu adalah yang terbaik untuknya.

Ya Allah, jika memang telah Engkau ketahui bahawa berkahwin dengan Ammar Qayyum itu adalah yang terbaik bagiku, dalam urusan agamaku, dan kehidupanku, serta akibat urusanku, maka takdirkanlah dia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, serta berkatilah aku di dalamnya. Namun, jika memang telah Engkau ketahui sebaliknya, maka hindarkanlah ia bagiku, dan jauhkanlah ia dariku, lalu jadikanlah hatiku meredhainya. Amin ya Rabbal Alamin, runtun hatinya mengucapkan doa tersebut. Semoga Allah berinya petunjuk dan hidayah.

May 3, 2011

Hanyutkah kita dengan mereka..??

Geram betul baca berita pagi nih! Pagi2 je dah emo. Padahal xyah emo pon xpe. Ntah ape2 la hormone pompuan ni kan kadang2. Selalu sangat kena diperingatkan, “Jangan bersedih.. jangan marah.. Allah bersama orang2 yang sabar..”

Bukannya tak pernah dengar ayat:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dari Allah dengan sabar dan solat…”

Banyak kali ek. Tapi xpe, hari ni sekali diingatkan dengan kalimah2 ‘WOW’ Allah special untuk kita. Tak kira apa juga situasi sekalipun, kata-kata Allah tetap yang terbaik dan paling istimewa untuk KITA.

Ha, distracted lak.. kembali ke pangkal jalan..

****

Semalam, ada satu kisah yang mengecewakan, meluluhkan hati, mematahkan ranting sabar menjadikan kita pada hari ini kembali seperti orang-orang gila, tanpa tamadun, tanpa akal malah lebih hina, tanpa jiwa seorang hamba. Terpaksa mengakui, sabarku serapuh reranting kering. Mudah terguris, mudah juga ‘reactive’ atas segala ujian dan tuduhan global kepada kita.

Padahal itu buktinya, tugas kita belum selesai. Tugas kita baru bermula. Semalam dan hari ini, hampir semua manusia berbicara tentang Osama. Satu nama yang masyhur, malah lebih terkenal dari Presiden Obama. Ramai manusia seluruh dunia mula bergembira, menari-nari mnyambut kematian seorang manusia yang juga sama seperti mereka. Seorang manusia yang datangnya dari tanah, dari tulang sulbi dan dari air yang hina. (teringat ngan kisah ISHAB)

Bayangkan, betapa rugi dan hinanya kita yang mentertawakan kematian seorang saudara!

Alangkah rendahnya kita bilamana kita saling bersahutan ketawa dan memaki-hamun seorang pembela kita! Apa perasaan kita jika kematian kita sendiri dirakamkan dan diperhatikan dengan penuh rasa bahagia? Pembunuh-pembunuh menembak tembus tengkorak kita dan suami kita tanpa rasa belas, tanpa endah jeritan penyeksaan kita.

Bayangkanlah sahabat, apakah kita makhluk Allah yang sudah hilang jatidiri? Sudah lupa naluri manusia?

Pernahkah kita tahu, manusia-manusia juga berbunuhan dalam era tamadun Rom. Semuanya terlalu teruja bersorak-sorak, menyaksikan manusia-manusia ‘hebat’ mempertahankan nyawa! Si mati, itulah si lemah. Dan yang tinggal bernyawa, itulah yang kuat. Kini, kita mengecam keganasan, membenci kematian manusia di medan peperangan dan memboikot segala penjualan yang mengundang kepada kezaliman.

Ironinya, hari ini kita telah sepakat sehati sejiwa bergembira dengan satu kematian yang kita sendiri tidak tahu palsu atau benar alasannya.

Benar sekali, kita semua telah diserang! Diserang bertubi-tubi sehingga kita tidak lagi mampu melangkah ke arah cahaya, apatah lagi berlari ke dalam kesejahteraan. Minda kita telah dibius dengan ubat pelali yang paling berkesan dalam sejarah dunia. Tidak merasai bahawa islam hari ini telah diinjak-injak, itulah hasil yang membanggakan musuh kita. Adakah kita juga golongan itu, yang turut berbahagia dikongkong dan dihina media massa boneka Amerika? Tanyalah hati kita, dipihak mana kita berada.

Kita bukan pejuang keamanan, bukan pula ahli persidangan organisasi keamanan dunia. Tapi, masih ada lagi sekelumit rindu pada sejahteranya dunia. Ada secalit cinta pada kesatuan dan kemerdekaan. Kita hanyalah manusia, berjiwa hamba, rindu pada PenciptaNya yang menjadikan kita seorang manusia yang berfikir. Bukan membabi-buta menurut kata ibarat lembu dicucuk hidungnya.